Tabunglah gendang bunyi bertalu,
Orang bersorak gegap gempita,
Sungguh malang nasib diriku,
Cinta ditolak harapan hampa.
Kalau tahu peria tu pahit,
Tidak ku gulai dengan petola,
Kalau tahu bercinta tu sakit,
Tidak ku mulai dari mula.
Anak punai anak merbah,
Hinggap ditonggak mencari sarang,
Anak sungai lagikan berubah,
Inikan pula hati orang.
Dari Arab turun ke Aceh,
Naik ke Jawa berkebun serai,
Apa diharap pada yang kasih,
Badan dan nyawa lagi bercerai.
Dari Jawa ke Bengkahulu,
Membeli keris di Inderagiri,
Kawan ketawa ramai selalu,
Kawan menangis seorang diri.
Limau purut lebat di pangkal,
Batang mengkudu condong uratnya,
Hujan ribut dapat ditangkal,
Hati yang rindu apa ubatnya.
Melangkah jauh membawa diri,
Membawa diri ke seberang laut,
Mengharap kasih orang tak sudi,
Entah ke mana rindu berpaut.
Apa diharap padi seberang,
Entah berbuah entahkan tidak,
Apa diharap kasih nya orang,
Entah berbalas entahkan tidak.
Apa diharap padi seberang,
Entah menjadi entahkan layu,
Apa diharap kasihnya orang,
Kasih baru penawar rindu.
Bintang berkelip di malam kelam,
Bulan menanti tiba saatnya,
Kasih ku beri pujangga ku sulam,
Kenapa rindu tiada penghujungnya.
Carik carik si bulu ayam,
Merah merah si buah nona,
Entah mengapa angan dianyam,
Sedangkan tahu tidak ke mana.
Tidak ku cari akar dedalu,
Jika tidak di hutan rimba,
Tidak ku kenal ertinya rindu,
Jika tenggelam di laut duka.
Semalam yg berlalu biarlah berlalu,
Hari ini masih belum pasti,
Mengapa hati tak pernah jemu,
Mengharap kasih pada yang tak sudi.
Bulan haji bulan mulia,
Orang ke Mekah beramai-ramai,
Bukan ku mati kerana senjata,
Sedang bercinta kasin tak sampai.
Thursday, June 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment